Harga rumah di negara ini sememangnya diakui 'cekik darah' dan tidak masuk akal.
Anda mahu membeli rumah? Jikapun anda seorang doktor mahupun jurutera, jangan haraplah pinjaman bank anda lulus dengan mudah.
Lebih baik lupakan sahaja. Mengapa? Kajian terbaharu oleh Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) mendapati harga rumah di Malaysia bukan sahaja sangat tidak mampu dimiliki, malah ia mencatatkan 4.4 kali lebih tinggi berbanding purata gaji tahunan sebenar rakyat Malaysia!
Bagaimana nasib rakyat Malaysia 10 tahun akan datang dengan harga mendadak yang ditawarkan oleh pengusaha perumahan tamak ini?
Kajian itu yang dipaparkan menerusi akhbar Utusan Malaysia baru-baru ini, bukan sahaja mengejutkan, malah membuatkan semakin ramai yang hilang harapan dan memendamkan sahaja impian untuk memiliki kediaman mereka sendiri.
Penulis sendiri tidak memahami, bagaimana rumah berkonsepkan kondominium di sekitar Lembah Klang boleh dijual dengan harga RM800,000 sedangkan ia bukanlah memiliki fasiliti luar biasa, dengan keluasan sederhana dan lokasi yang bukanlah terlalu strategik pun.
Kajian itu juga memaparkan pemilikan rumah di Kuala Lumpur adalah sekitar 53.5 peratus sahaja, berdasarkan banci penduduk 2010. Bagaimana dengan nasib 50 peratus lagi penduduk? Menyewa sehingga kiamatkah?
Jika waktu ini rumah berkeluasan bawah 1,000 kaki persegi itu sudah mencapai hampir RM1 juta seunit, bagaimana agaknya nasib masyarakat dalam masa 10 hingga 20 tahun akan datang? Tidur berbumbungkan langit mungkin?








By —