Ibu Pakai Stokin Ketika Berpantang Dan Ini Sebab Kenapa Anda Perlu Pakai Juga

By —

  • Ibu Pakai Stokin Ketika Berpantang Dan Ini Sebab Kenapa Anda Perlu Pakai Juga


    Memakai stokin semasa berpantang seolah-olah sudah menjadi rutin bagi setiap ibu. Asal pakai stokin mesti orang akan anggap sedang berpantang walaupun masih anak dara. Dan stokin yang dipakai oleh ibu pula pelbagai jenis – ada yang tebal, ada yang nipis, yang longgar, yang kecil dan sebagainya. Apa maksud sebenar disebalik memakai stokin semasa berpantang?
    Elakkan masuk angin

    Jika menurut orang tua-tua, pemakain stokin adalah perlu untuk ibu dalam pantang mengekalkan haba dalam badan dan mengelakkan ibu masuk angin, sekaligus mengelakkan bentan. Mungkin sebab itu tiada garis panduan khas stokin bagaimana yang harus dipakai, tapi kebanyakan ibu berpantang sering memakai stokin tebal.

    Ada juga mengatakan bahawa pemakaian stokin ketika pantang adalah untuk mengingatkan orang lain supaya berjaga-jaga kerana ibu sedang berpantang. Maklumlah, ibu berpantang sentiasa berlunjur dan melanggar ibu jari kaki ibu berpantang dikatakan boleh menjejaskan rahim. Jadi, sekiranya ibu memakai stokin, orang sekeliling akan berwaspada dan akan berjalan dengan berhati-hati bagi mengelakkan dari terlanggar kaki ibu berpantang.
    Kepentingan memakai stokin selepas bersalin dari sudut sains

    Rupa-rupanya ada penjelasan saintifik di sebaliknya.

    Manusia banyak kehilangan haba melalui tapak kaki. Pemakaian stokin adalah baik untuk menyimpan haba dan mengekalkan suhu badan yang optimum. Menyentuh tapak kaki secara langsung ke lantai yang sejuk kemungkinan boleh mengubah suhu badan ibu dengan drastik dan apabila badan menjadi lebih sejuk, penyembuhan dalaman selepas bersalin mungkin akan terganggu.

    Selepas bersalin, perubahan sel darah pada saluran darah ibu akan berlaku. Yang paling ditakuti ialah darah beku pada salur darah dibetis kerana ibu selepas bersalin sudah tentu kurang aktif bergerak, hanya duduk-duduk atau baring sambil menyusukan bayi. Pengaliran darah yang tidak lancar terjadi dalam keadaan ini dan meningkatkan risiko darah beku. Pemakaian stokin boleh membantu mengecutkan otot bahagian betis dan menggalakan pengaliran darah.

    Semasa mengandung pula, salur darah pada bahagian kaki ibu terdedah untuk mengembang dan ini juga meningkatkan risiko untuk pembekuan darah dalam salur darah di betis. Pemakaian stokin dapat membantu untuk melancarkan pengaliran darah dan mengelakkan darah beku.
    Jenis stokin

    Namun, kita harus lihat juga pemakaian stokin yang bagaimana untuk membantu mengelakkan masalah ini. Stokin yang paling baik ialah stokin yang ketat ataupun dipanggil compression stockings yang biasa digunakan oleh ahli fisioterapi. Namun, jika tidak dapat stokin begitu, bolehlah memakai stokin bola yang lebih ketat dan panjang. Bukan sembarangan stokin ya.

    Bagi ibu-ibu yang merungut tidak selesa kerana perlu memakai stokin, harap bersabar kerana ini semua adalah untuk kebaikan dan kesihatan ibu juga. Bagaimana mahu jaga si kecil jika diri sendiri tidak sihat?