Tahukah Anda Mengapa Pokok Kurma Dilarang Masuk Ke Malaysia?

By —

  • Pokok Kurma Kini Dilarang Dibawa Masuk Malaysia


    Pokok kurma tidak dibenarkan dibawa masuk ke negara ini kerana ia dikenal pasti sebagai perumah utama perosak tanaman iaitu kumbang merah palma (RPW), kata Ketua Pengarah Pertanian, Datuk Ahmad Zakaria Mohamad Sidek.  

    Katanya, kemasukan RPW ke negara ini didapati berlaku melalui kemasukan secara tidak sah pokok kurma yang dicemari perosak tersebut.

    Beliau berkata, jabatan itu mengesan pokok-pokok kurma ditanam di Terengganu, Kelantan, Perlis, Kedah, Melaka, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang sebagai tanaman hiasan di kawasan hotel, pejabat dan halaman rumah.    

    “Kita tidak pernah mengeluarkan mana-mana permit kemasukan pokok kurma atau pengimportan apa-apa tanaman palma,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.    

    Katanya usaha kini sedang dilakukan termasuk bekerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia untuk menghalang sebarang kemasukan baru pokok kurma ke negara ini.  

    “Kita juga akan memusnahkan pokok-pokok yang dikesan memasuki negara secara tidak sah dan kami turut memohon orang awam yang mengetahui penanaman pokok kurma untuk bekerjasama melaporkannya kepada kami,” kata Ahmad Zakaria.    

    Beliau berkata, jabatan itu juga menggerakkan jerayawara di seluruh negara sejak awal bulan ini selain bekerjasama dengan pengusaha tapak semaian dan pihak berkuasa kerajaan tempatan.        

    “Kita juga meminta pemilik pohon kurma untuk melaporkan kepada Jabatan Pertanian untuk pemantauan dan sekiranya didapati tanaman itu diserang RPW, pokok-pokok kurma itu akan dimusnahkan,”katanya.       

    Jelas beliau, kehadiran kumbang perosak tanaman itu dikenal pasti sejak 2009 dan RPW di Malaysia telah dikenal pasti sebagai makhluk perosak berbahaya pada 19 Julai 2011.    

    Katanya, kewujudan kumbang yang berasal dari kawasan Timur Tengah itu didapati telah memusnahkan 294 hektar tanaman kelapa di Terengganu dan Kelantan sejak tiga tahun lalu.   

    “Kemusnahan tersebut masih dianggap terkawal kerana kita mempunyai seluas 87,000 hektar tanaman kelapa di seluruh negara, namun apa yang merisaukan kita adalah kemungkinan haiwan perosak itu akan turut menyerang tanaman kelapa sawit yang merupakan dari keluarga jenis palmae yang sama,” katanya.   

    Beliau berkata makhluk perosak tersebut juga kini dikesan di Terengganu, Kelantan, Perlis dan Kedah. – Bernama